15 Penerima Terima Kunci Rumah PRR Pelangai

Alhamdulillah, hari ini merupakan detik istimewa buat 15 penerima kunci rumah Program Residensi Rakyat (PRR) Pelangai yang disampaikan oleh YB. Dato’ Amizar bin Abu Adam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai.

Pada majlis sama turut disampaikan penyerahan 10 cek bantuan Kerajaan Negeri Pahang kepada penerima.
Hadir sama ialah YH. Dato’ Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Ketua-ketua Jabatan dan komuniti setempat.
Majlis ini bukan sahaja menzahirkan sokongan padu dalam Skim Perumahan Negeri Pahang tetapi juga membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat merangkumi pelbagai aspek bagi memastikan rakyat dari pelbagai peringkat dapat menikmati kemakmuran negeri.

Program PRR Pelangai dijenamakan semula daripada Program Perumahan Rakyat (PPR) pada 3 September 2024, menawarkan rumah pada harga RM35,000 lengkap dengan 3 bilik tidur, 2 bilik air, ruang tamu dan dapur sesuai untuk mereka yang berkeluarga daripada golongan B40 memiliki kediaman pertama.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima! Semoga kediaman baharu ini menjadi asas kehidupan yang selesa, harmoni dan memberi inspirasi kepada komuniti setempat. Dengan sokongan berterusan Kerajaan Negeri dan LPHP, usaha menyediakan perumahan mampu milik di Pahang akan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.