Kunjungan Hormat LPHP Ke KKDW Negeri Pahang: Fokus Infrastruktur Projek Rumah Bantuan

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Negeri Pahang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik serta meningkatkan kerjasama antara agensi negeri dan persekutuan dalam agenda pembangunan perumahan rakyat.

Ketibaan delegasi LPHP yang diketuai oleh YH Dato’ Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, bersama barisan pegawainya telah disambut mesra oleh YM Tengku Khairul Zahirah binti Tengku Kamaludin, Pengarah KKDW Negeri Pahang, bersama pegawai-pegawai kementerian.
Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada aspek infrastruktur bagi pelaksanaan dua projek rumah bantuan, iaitu Rumah Rakyat Pahang (RRP) dan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA), yang bakal memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya golongan sasaran di Negeri Pahang.

Melalui pertemuan ini, kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan penyelarasan pelaksanaan projek bagi memastikan inisiatif perumahan rakyat dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
LPHP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sambutan mesra serta komitmen pihak KKDW dalam memperkukuh kerjasama strategik demi memastikan agenda perumahan rakyat dapat direalisasikan secara mampan dan berkesan di negeri ini.