Cabutan Undi PR1MA Pahang Kampung Padang 2.0 Berjalan Lancar

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP) telah menganjurkan Majlis Cabutan Undi dan Pemilihan Lot Rumah bagi Skim PR1MA Pahang Kampung Padang 2.0 (berhampiran kawasan pembangunan KotaSAS) yang berlangsung di BCIC Lodge, Pusat Dagangan Mahkota, Indera Mahkota, hari ini.
 
Majlis ini diadakan buat kali kedua bagi mengisi baki 26 kekosongan unit rumah di PR1MA Kampung Padang, Mukim Kuala Kuantan, setelah pelaksanaan fasa pertama mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah YH Dato’ Indera Haji Mustaffar Kamal bin Haji Ab Hamid, Penyelaras Dewan Negeri Kawasan Beserah, yang turut menyaksikan perjalanan cabutan undi dijalankan dengan teratur, telus dan berintegriti, selaras dengan dasar LPHP dalam memastikan ketelusan setiap proses agihan.

Proses cabutan undi ini menentukan penerima rumah dalam kalangan peserta berdaftar yang layak. Peserta yang berjaya kemudiannya berpeluang memilih lot rumah masing-masing, sebelum meneruskan proses pemilikan melalui penawaran rasmi LPHP dan urusan pembiayaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Penganjuran majlis ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang melalui LPHP dalam menyediakan Rumah Mampu Milik yang berkualiti, selain memastikan setiap proses agihan rumah dilaksanakan secara adil, telus dan berlandaskan prinsip integriti demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.