Pahang Perkenal Inisiatif Pangsapuri Pahangku Berpusatkan Mobiliti dan Kelestarian

  • Diterbitkan pada 11/08/2025
  • 30 klik

Dato' Sri Haji Wan Rosdy (tujuh kanan) bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang ketika menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pecah Tanah Cadangan Tapak Pangsapuri Pahangku yang berlangsung di Taman Awam Ujana, Bentong.

BENTONG, 11 Ogos 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melakar satu lagi sejarah penting dalam agenda penyediaan perumahan mampu milik menerusi Majlis Pecah Tanah Cadangan Tapak Pangsapuri Pahangku yang diadakan di Taman Awam Ujana, Bentong.

 

Majlis yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang ini merupakan simbolik pelaksanaan projek perintis Pangsapuri Pahangku yang bakal menyediakan pilihan kediaman moden, kondusif dan mampu milik kepada rakyat khususnya golongan muda, pekerja bandar dan pasangan berpendapatan sederhana.

Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy ketika gimik Majlis Pecah Tanah Cadangan Tapak Pangsapuri Pahangku.

Pangsapuri Pahangku yang akan dibina di atas tanah berkeluasan 6.32 ekar ini merupakan inisiatif terbaharu cetusan idea YAB Menteri Besar sendiri, yang dilaksanakan melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP) dengan matlamat untuk membentuk sebuah ekosistem kehidupan moden yang tersusun dan lestari.

 

Selaras dengan pendekatan Transit-Oriented Development (TOD), projek ini dibangunkan berhampiran lokasi Stesen ECRL Bentong dengan penekanan kepada keseimbangan antara perumahan, mobiliti dan pembangunan ekonomi setempat. Kediaman yang dirancang bukan sahaja ditawarkan melalui konsep jual beli dan sewaan tetapi turut dilengkapi dengan kemudahan serta fasiliti asas.

Tujuh stesen ECRL yang terdapat di jajaran sepanjang 223km di Negeri Pahang.

Projek Pangsapuri Pahangku ini dirancang untuk diperluaskan ke kawasan-kawasan strategik berhampiran enam (6) lagi stesen ECRL di Pahang iaitu di Temerloh, Maran, Paya Besar, Kota SAS, Kuantan Port City (KPC) dan Cherating. Jajaran ECRL di Pahang merangkumi lebih 223 kilometer menjadikan negeri ini sebagai laluan terpanjang dalam keseluruhan projek ECRL, justeru membuka ruang kepada pembangunan semula bandar kecil dan luar bandar secara menyeluruh.

 

Setiap lokasi pembangunan baharu akan dipilih berdasarkan kriteria seperti pemilikan tanah kerajaan, kesediaan infrastruktur, potensi pelaburan serta keperluan setempat agar setiap projek benar-benar memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Majlis bersejarah itu turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, YH. Dato’ Ahmad Islanizam bin A. Halim, tetamu kehormat, agensi pelaksana, pemaju serta pemimpin setempat.

 

Kerajaan Negeri yakin bahawa menerusi pelaksanaan projek seumpama ini, Pahang akan terus muncul sebagai sebuah negeri yang maju, sejahtera dan inklusif dengan rakyat yang memiliki kualiti hidup lebih baik melalui kediaman yang selamat, tersusun dan berdaya huni. - LPHP

 

Sistem Perumahan Awam Pahang

Satu pusat sehenti berkaitan perumahan yang menawarkan perkhidmatan berikut:
  • Senarai projek-projek perumahan mengikut daerah
  • Pendaftaran dan semakan permohonan perumahan di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, Projek Rumah Makmur, Projek Rumah Pahang, Projek Rumah Penjawat Awam Negeri Pahang (RPAP), Rumah Kos Rendah dan Sederhana Rendah.
  • Kemudahan pembayaran sewaan Rumah PAKR secara atas talian

"Kediaman Selesa, Hidup Sejahtera"

Hakcipta Terpelihara © 2025
Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang
Tingkat 7 & 8, Menara Teruntum, Jalan Mahkota, 25000 Kuantan, Pahang
Tel : 095512777 / 095512888
Email : home[a]lphpahang.gov.my