Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang Tanah Rata dan Majlis Pecah Tanah PR1MA Pahang Ringlet
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang Tanah Rata di Perumahan Makmur Tanah Rata Jaya, di sini.
Sebanyak 112 unit rumah telah disiapkan di bawah projek ini oleh pemaju Binasaujana Sdn. Bhd. dengan seramai 50 penerima hadir menerima kunci kediaman masing-masing pada hari ini.
Sebagai kesinambungan komitmen menyediakan lebih banyak kediaman berkualiti dan mampu milik, majlis ini turut menyaksikan Majlis Pecah Tanah Projek PR1MA Pahang Ringlet merangkumi pembinaan 240 unit rumah membabitkan dua blok bangunan tujuh tingkat.
Projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dalam memenuhi keperluan perumahan yang semakin meningkat di Cameron Highlands.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Dato' Dr. Ramli Bin Dato' Mohd Nor, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Bin Mohd Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, ketua-ketua jabatan serta pemimpin setempat.
Majlis ini menjadi simbol usaha berterusan Kerajaan Negeri melalui LPHP dalam memastikan rakyat memiliki tempat tinggal yang selesa, selamat dan mampu milik.