Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 Fokus Perumahan Rakyat Di Pahang

  • Diterbitkan pada 03/05/2025
  • 13 klik

Negeri Pahang menjadi saksi kesungguhan Kerajaan Madani dalam memastikan agenda perumahan yang inklusif dan mampan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat khususnya di negeri ini.

 

Menerusi siri jelajah Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM132.29 juta khusus bagi sektor perumahan yang merangkumi pelbagai program pembangunan, penyelenggaraan dan penambahbaikan kediaman.

 

Menurut YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri KPKT, antara peruntukan terbesar disalurkan adalah menerusi Program Residensi Rakyat (PRR), dengan lapan projek kediaman di Kuantan, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera bernilai RM61.73 juta. Program ini dilaksanakan bagi menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan sasar yang akan mula dibina secara berperingkat tahun ini.

Turut dilaksanakan ialah dua program penyelenggaraan di bawah Tabung Bencana Perumahan Malaysia (TBPM) dan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) dengan jumlah RM5.86 juta bertujuan memastikan kediaman yang mengalami kemusnahan dan kerosakan akibat bencana dapat digantikan dengan rumah baharu yang baik dan selamat untuk didiami.

 

Di samping itu, dua program baik pulih dan bina baharu rumah di kawasan bandar turut mendapat perhatian, melibatkan peruntukan RM2.25 juta. Program ini memberi nafas baharu kepada kediaman uzur di kawasan bandar agar lebih selesa dan berdaya huni.

 

Manakala, tumpuan utama juga diberikan kepada Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan peruntukan sebanyak RM63.45 juta. Pada majlis yang berlangsung di Kuantan, pagi tadi, seramai lima penerima unit RMR dan tiga penerima unit Rumah Bina Baharu di Bandar telah menerima kunci rumah masing-masing. 

Keseluruhan peruntukan bagi penyerahan tersebut adalah sebanyak RM379,500 dan dilaksanakan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

 

Menerusi Bajet 2025, kerajaan menyasarkan pembinaan 5,450 unit RMR di seluruh negara manakala 782 unit daripadanya akan dibina di Negeri Pahang dan sehingga kini sebanyak 472 unit telah berjaya disiapkan.

 

Hadir sama pada Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 ialah YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri KPKT,  YH. Datuk Wira M Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha KPKT, YH. Datuk TPr Dr. Alias bin Rameli, Ketua Pengarah PlanMalaysia dan YH. Dato' Mohd Fadzli bin Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan.

Turut memeriahkan majlis ialah YH. Dato' Dr. Mohd Azmi bin Mohd Lila, Pengerusi SPNB, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato' Ahmad Islanizam bin A. Halim.

 

Komitmen berterusan KPKT ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan kediaman yang berkualiti, selesa dan mampu milik kepada rakyat. Ia selari dengan matlamat membentuk komuniti yang sejahtera dan berdaya huni di seluruh negara, khususnya di Negeri Pahang.

 

Sistem Perumahan Awam Pahang

Satu pusat sehenti berkaitan perumahan yang menawarkan perkhidmatan berikut:
  • Senarai projek-projek perumahan mengikut daerah
  • Pendaftaran dan semakan permohonan perumahan di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, Projek Rumah Makmur, Projek Rumah Pahang, Projek Rumah Penjawat Awam Negeri Pahang (RPAP), Rumah Kos Rendah dan Sederhana Rendah.
  • Kemudahan pembayaran sewaan Rumah PAKR secara atas talian

"Kediaman Selesa, Hidup Sejahtera"

Hakcipta Terpelihara © 2025
Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang
Tingkat 7 & 8, Menara Teruntum, Jalan Mahkota, 25000 Kuantan, Pahang
Tel : 095512777 / 095512888
Email : home[a]lphpahang.gov.my