Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan, Pemantauan Dan Pemulihan Projek Sakit dan Terbengkalai Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP)

Satu Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan telah diadakan bagi membincangkan status pelaksanaan projek-projek perumahan serta langkah pemantauan dan penambahbaikan pengurusan projek di Negeri Pahang.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, dan turut dihadiri oleh YH Dato’ Sr. Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP).

Perbincangan memberi tumpuan kepada penyelarasan tindakan antara agensi terlibat, penilaian kemajuan semasa di tapak serta pengukuhan pengurusan dan pelaksanaan projek bagi memastikan kelangsungan dan keberkesanan pelaksanaan projek perumahan.
Mesyuarat turut membincangkan perkembangan tiga (3) projek Rumah Pahang (PGBF) yang sedang dipantau secara berkala oleh LPHP. Selain itu, cadangan tindakan lanjut yang lebih tegas terhadap dua (2) pemaju turut diteliti, melibatkan Pembangunan Projek Rumah Makmur dan Pembangunan Bercampur di Kampung Tiram, Mukim Kuala Kuantan, serta Pembangunan Projek PR1MA Pahang di Kampung Lebu.

LPHP akan terus melaksanakan pemantauan berterusan serta tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan setiap projek perumahan dapat diteruskan mengikut perancangan yang ditetapkan, demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Negeri Pahang.