Sesi Taklimat Pemasangan Sistem Solar Di Bawah Skim Perumahan Negeri Pahang

Satu sesi taklimat telah diadakan bagi memberi pendedahan awal berhubung pemasangan sistem solar dalam pembangunan perumahan di bawah Skim Perumahan Negeri Pahang. Taklimat ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu di kawasan perumahan selari dengan agenda pembangunan mampan negeri.

Sesi ini melibatkan perkongsian ilmu dan interaktif daripada pelbagai pihak berkaitan, termasuk wakil anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), GSPARX Sdn. Bhd., berkaitan potensi, pelaksanaan serta manfaat penggunaan sistem solar dalam perumahan.
Inisiatif ini turut mengambil inspirasi daripada pelaksanaan projek perintis terdahulu seperti PR1MA Pahang Penjom di Daerah Lipis yang merupakan kerjasama strategik antara Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), TNB dan GSPARX dalam merealisasikan perumahan hijau dan cekap tenaga.

LPHP akan terus meneliti dan menyelaras cadangan pelaksanaan sistem solar secara berperingkat bagi projek-projek terpilih di bawah Skim Perumahan Negeri Pahang, selaras dengan dasar dan aspirasi Kerajaan Negeri ke arah komuniti yang lebih lestari dan rendah karbon.