Sesi Pemantauan Kecacatan Dan Kualiti Penyiapan Rumah Bersama Pemaju dan Pembeli

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP) telah mengadakan satu sesi pemantauan kecacatan dan kualiti penyiapan rumah bersama pemaju dan pembeli bagi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Taman Perumahan Makmur Pelangi Jaya, Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, Rompin.
Sesi pemantauan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan LPHP untuk memastikan kualiti pembinaan serta tahap penyiapan rumah berada pada tahap yang ditetapkan, di samping memastikan setiap projek perumahan yang dibangunkan sentiasa dipantau secara rapi.

Sesi ini diketuai oleh YH Dato’ Sr. Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP bersama pegawai-pegawai teknikal bagi menilai keadaan semasa di tapak, mengenal pasti sebarang kecacatan serta menyelaras tindakan susulan yang bersesuaian. Turut hadir YB Dato’ Ir. Razali bin Kassim selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, bagi meninjau sendiri pelaksanaan serta perkembangan semasa projek di tapak.

LPHP sentiasa berusaha melaksanakan pemantauan berterusan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya demi memastikan kepentingan serta kebajikan para pembeli sentiasa terpelihara.