Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) Fasa 2, Kampung Binjai, Daerah Lipis

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 22 penerima dari daerah Lipis, Raub dan Bentong.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang; Dato’ Sri Mohd Sharkar bin Shamsuddin, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang; YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA); YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Abd Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang; Tuan Yang Terutama Dr. Mubarak Saeed Aldhaheri, Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia; Mr. Idris Osman Ahmed, Penolong Eksekutif Kanan Komunikasi dan Diplomasi Awam; YH Dato’ Sr. Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang, serta barisan ketua-ketua jabatan.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan mengurniakan 22 kunci kepada penerima iaitu 12 penerima dari daerah Lipis, lapan bagi daerah Raub dan dua bagi daerah Bentong.
Keprihatinan Paduka Baginda mencerminkan usaha berterusan dalam membantu golongan memerlukan memiliki kediaman yang selesa dan selamat, di samping menitahkan agar kediaman yang dikurniakan dijaga dengan baik serta tidak dijual atau disewakan

Projek Ru’RASA adalah tanda kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku hasil kerjasama strategik bersama Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, bagi membantu golongan sasar memiliki kediaman percuma.
LPHP akan terus melaksanakan amanah ini demi kesejahteraan rakyat Negeri Pahang.