Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 5 Tahun 2024, DUN Kemayan, Daerah Bera

Satu Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 5 Tahun 2024 bagi kawasan DUN Kemayan telah diadakan pada 6 Mac 2026 lalu melibatkan penyerahan sebanyak lapan (8) buah rumah kepada penerima yang layak.
Daripada jumlah tersebut, tujuh (7) buah rumah telah diserahkan kepada penerima di tapak RRP FELDA Tementi manakala satu (1) buah rumah lagi di tapak RRP Kemayan.

Setiap unit rumah bernilai RM75,000, selain turut disertakan dengan peralatan rumah dan barangan elektrik bernilai RM2,000, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi program ini sebanyak RM616,000.
Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh YB Encik Khairulnizam bin Mohamad Zuldin, Ahli Dewan Negeri Kemayan. Turut hadir YH Dato' Ahmad Nasim bin Dato' Haji Mohd Sidek, Pegawai Daerah Bera; Encik Ahmad Syarifuddin bin Abu Bakar, Penolong Eksekutif Projek mewakili Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP); Penghulu Mukim Triang 1; Penghulu Mukim Bera 1; wakil Pengerusi JPKK FELDA Tementi; Pengerusi JPKK Dato' Sri Hamzah serta urusetia Pejabat Daerah dan Tanah Bera.

Pelaksanaan program ini mencerminkan keprihatinan dan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya dalam aspek pemilikan rumah yang berkualiti dan selesa didiami. Semoga kediaman yang diserahkan ini membawa sinar baharu serta kehidupan yang lebih selesa dan harmoni kepada para penerima bersama keluarga.
LPHP akan terus komited dalam memastikan pelaksanaan inisiatif perumahan rakyat dapat direalisasikan secara berterusan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Pahang.