Mesyuarat Pemantauan Progres Pelan Mitigasi Projek Rumah Makmur Kg. Tiram

Projek Rumah Makmur Kampung Tiram telah melalui beberapa sesi penting bagi memastikan isu kelewatan dan pelaksanaan projek dapat ditangani secara menyeluruh. Pada 4 Disember 2025, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan, Pemantauan Dan Pemulihan Projek Sakit Dan Terbengkalai (JKPPPPST) Bil.3/2025 telah diadakan dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff. Turut hadir YH Dato’ Ahmad Islanizam bin A. Halim serta Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan ahli-ahli jawatankuasa yang lain bagi membincangkan status serta tindakan pemulihan projek.

Susulan itu, Mesyuarat Pemantauan Kemajuan Pelan Mitigasi Projek Rumah Makmur Kampung Tiram yang dipengerusikan oleh YH Dato’ Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP telah diadakan pada 2 Februari 2026 bertujuan meneliti kemajuan fizikal semasa projek berdasarkan pelan mitigasi yang telah dikemukakan oleh pihak pemaju. Perbincangan turut menyentuh kedudukan pinjaman kewangan pemaju, jumlah tenaga kerja di tapak pembinaan serta isu Liquidated Ascertained Damages (LAD) dan punca kelewatan projek.

Hasil daripada mesyuarat tersebut, satu sesi perjumpaan dan taklimat bersama pembeli Rumah Makmur Kampung Tiram telah diadakan pada 9 Februari 2026 bagi memberi penjelasan lanjut mengenai status semasa projek serta tindakan susulan yang sedang dan akan dilaksanakan.
LPHP akan terus memantau perkembangan projek dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan berjalan mengikut perancangan serta menjaga kepentingan pembeli. Tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang ketidakpatuhan dan setiap kerja pembinaan serta pembaikan mesti dilaksanakan mengikut piawaian dan spesifikasi yang ditetapkan. LPHP tidak akan berkompromi dalam soal kualiti dan kepatuhan demi melindungi kepentingan pembeli dan rakyat Negeri Pahang.