Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan, Pemantauan Dan Pemulihan Projek Saki Dan Terbengkalai (JKPPPST) LPHP Bil.1/2026

Satu lawatan tapak telah diadakan pada 3 Februari 2026 di Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Kampung Lebu, Bentong bagi meneliti status semasa projek berkenaan yang dikategorikan sebagai projek sakit.

Susulan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan, Pemantauan Dan Pemulihan Projek Sakit Dan Terbengkalai (JKPPPPST) LPHP Bil. 01/2026, yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang telah diadakan pada 5 Februari 2026.

Turut hadir ialah Dato' Muhammad Saifuddin bin Hashim Musaimi, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, YH. Dato’ Sr. Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP serta ahli-ahli jawatankuasa berkaitan.
Projek PR1MA Pahang Kampung Lebu telah siap sepenuhnya, namun ulasan daripada Majlis Perbandaran Bentong (MPB) masih belum diperoleh berikutan ketidakpatuhan terhadap spesifikasi yang diluluskan.

Pemaju kini dalam tindakan melaksanakan kerja-kerja pembaikan di tapak dan diarahkan untuk menyegerakan pelaksanaan pembaikan tersebut sebelum tindakan lanjut dipertimbangkan.
Bagi memastikan projek sakit ini dapat disiapkan mengikut spesifikasi yang telah diluluskan serta memenuhi keperluan rakyat, LPHP akan terus memperkukuh pemantauan secara berkala dan melaksanakan langkah pemulihan yang sewajarnya.

LPHP komited untuk memantau perkembangan projek dari semasa ke semasa, mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ketidakpatuhan serta memastikan setiap kerja pembinaan dan pembaikan dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan. LPHP tidak akan berkompromi dalam soal kualiti dan kepatuhan spesifikasi demi melindungi kepentingan pembeli dan rakyat Negeri Pahang.