Majlis Pengurniaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah Fasa 2, Daerah Cameron Highlands, Pahang

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Pengurniaan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Fasa 2 di Kampung Desa Kayangan, Daerah Cameron Highlands.
Turut hadir mengiringi baginda ialah YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang serta YH. Dato’ Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan mengurniakan dua unit Rumah Ru’RASA kepada penerima melibatkan penduduk di kawasan Cameron sebagai usaha berterusan membantu golongan yang memerlukan memiliki kediaman sendiri yang selesa dan selamat.
Bagi Fasa Pertama Ru’RASA, sebanyak 190 unit rumah bernilai RM18.3 juta telah siap dibina dan dikurniakan kepada penerima. Manakala bagi Fasa Kedua, sebanyak 260 unit dilaksanakan dengan peruntukan RM23 juta, di mana 208 unit telah siap dibina dan 52 unit sedang dalam proses pembinaan di seluruh Negeri Pahang.

Projek Ru’RASA merupakan tanda kasih dan keprihatinan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku melalui kerjasama strategik bersama Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2023 bagi membantu golongan sasar memiliki kediaman secara percuma.
Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh komitmen bagi memastikan setiap unit rumah disiapkan dan diserahkan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat Negeri Pahang.