Sesi Taklimat dan Penyelesaian Isu Perumahan Makmur Kampung Tiram, Kuantan

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP) telah menganjurkan Sesi Taklimat dan Penyelesaian Isu Perumahan Makmur Kampung Tiram, Kuantan bersama wakil-wakil pembeli sebagai usaha berterusan bagi menangani isu yang dibangkitkan secara telus dan berfokus kepada kepentingan rakyat.
Taklimat ini telah disampaikan oleh YH. Dato’ Sr. Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP dan turut dihadiri oleh Encik Nik Mohd Ridzuan Kamarudin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota merangkap Ahli Majlis Bandaraya Kuantan serta pihak Pemaju Zon Majuria Sdn. Bhd. dan pembeli-pembeli Rumah Makmur Kampung Tiram.

Taklimat ini memberi penjelasan menyeluruh berhubung isu semasa projek, langkah-langkah susulan serta gerak kerja yang sedang dan akan dilaksanakan oleh LPHP dengan sokongan Kerajaan Negeri Pahang.
Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi ruang kepada wakil pembeli menyuarakan pandangan dan mendapatkan penjelasan secara langsung, sekali gus membantu menyelesaikan kekeliruan serta memperkukuh kefahaman semua pihak.

Sebelum ini, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang isu yang menjejaskan kepentingan rakyat dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan yang sewajarnya.
LPHP sentiasa menitikberatkan suara pemohon dan pembeli serta bertindak secara bertanggungjawab dan telus demi memastikan kebajikan rakyat Pahang terus terpelihara.